PUTRAJAYA: Anggota Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen disarankan menjalani saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali, bagi memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata perkara itu turut diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet hari ini, susulan mengambil ikhtibar pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.

"Contohnya baru ni apa yang berlaku kepada Allahyarham (Salahuddin), kita memperingatkan kepada semua Ahli Parlimen untuk menjaga kesihatan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam 23 Julai, setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata KKM akan melaksanakan pemberian vaksin influenza kepada semua kakitangannya tahun ini, untuk memastikan mereka dilindungi daripada jangkitan virus itu.

"Kita tengah menunggu untuk pembelian influenza vaksin," katanya.

-- BERNAMA